Solat, keselamatan dari azab
Solat yang dilaksanakan dengan sempurna dapat menyelamatkan tuannya daripada seksaan kubur. Imam At-Tabrani telah meriwayatkan, bahawa Rasulullah SAW bermimpi tentang seorang lelaki yang sedang diazab di dalam kubur, kemudian datang solat yang dikerjakannya lalu menyelamatkannya dari azab kubur tersebut. Begitu juga solat akan menjadi penyelamat pada hari Kiamat bagi sesiapa yang memelihara dan menjaganya semasa hidup di dunia. Dalam hubungan ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang memelihara solat, maka solatnya akan menjadi cahaya, bukti (keimanan) dan menyelamatkannya pada hari Kiamat.” (Riwayat Imam Ahmad)
Seterusnya, Rasulullah SAW telah memberi jaminan kepada umat Islam, bahawa mereka tidak akan dimasukkan ke dalam neraka sekiranya mereka sentiasa memelihara solat, terutamanya solat Asar dan solat Subuh. Sabda baginda SAW yang bermaksud:
“Pasti tidak akan masuk neraka seseorang yang bersembahyang sebelum terbit matahari (Subuh) dan sebelum matahari tenggelam (Asar).” (Riwayat Imam Muslim)
Ingatlah amaran Allah SWT!
Marilah kita sama-sama hayati amaran tegas yang telah disampaikan oleh Rasulullah SAW terhadap orang-orang yang meninggalkan solat. Antaranya adalah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesiapa yang tidak solat, maka tiada agama baginya.” (Riwayat as-Sayuti)
“Sesiapa yang meninggalkan solat Asar, maka terhapuslah segala pahala amalannya.” (Riwayat Imam Bukhari)
“Sesungguhnya apabila seseorang mukmin menunaikan solat, maka segala dosanya datang kepadanya lalu diletakkan pada bahagian kepala dan tengkuknya. Setiap kali dia rukuk dan sujud, segala dosanya itu akan jatuh berguguran.”
“Perkara pertama yang dihisab terhadap seseorang hamba ialah solat. Jika solatnya baik, maka baiklah segala amalannya. Jika solatnya rosak, maka rosaklah segala amalannya yang lain.” (Riwayat at-Tabarani)
Oleh itu, sesiapa yang tidak menunaikan solat kerana sibuk dengan kerajaannya, dia akan dibangkitkan bersama Fir’aun. Jika seseorang itu tidak menunaikan solat kerana sibuk dengan kementeriannya, dia akan dibangkitkan bersama Haman. Jika seseorang itu tidak menunaikan solat kerana sibuk menguruskan hartanya, dia akan dibangkitkan bersama Qarun. Begitu juga sesiapa yang tidak menunaikan solat kerana sibuk mengendalikan perniagaannya, dia akan dibangkitkan bersama dengan Ubay bin Khalaf. Sedarlah kesemua mereka itu akan dimasukkan ke dalam neraka.
Ayuh kita pelihara solat kita!
Ayuh wahai saudaraku! Marilah kita semua menjaga dan memelihara solat dalam kehidupan seharian kita, kerana solat itu adalah tiang seri agama kita. Renungi sabda Rasulullah SAW:
“As-Solatu imaduddin, faman aqamaha faqad aqamad din, waman tarakaha faqad hadamad din.”
Maksudnya: “Solat adalah tiang seri agama, maka sesiapa yang menunaikan solat, maka sesungguhnya dia telah menegakkan agama, dan sesiapa yang meninggalkan solat, maka sesungguhnya dia telah meruntuhkan agama”.
Sesungguhnya Islam itu telah dibina di atas solat, di samping mengucap dua kalimah syahadah, haji, puasa dan zakat.
No comments:
Post a Comment