Peristiwa Isra’ dan Mi’raj yang disambut setiap tahun amat sinonim dengan ibadat solat, yang merupakan satu-satunya ibadat yang difardhukan secara langsung oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW tanpa perantaraan Malaikat. Lantaran itu, solat mendapat kedudukan yang istimewa dalam Islam. Solat adalah penghubung hamba dengan Tuhannya, penghapus dosa dan pendinding daripada maksiat, serta keselamatan daripada azab kubur dan azab neraka. Rasulullah SAW pernah menyifatkan solat sebagai ciri pembeza di antara Islam dan kekufuran. Sabda baginda SAW yang bermaksud:
“Perbezaan antara seseorang dan kekafiran ialah dengan meninggalkan solat.” (Riwayat Imam Muslim)
Solat, kefardhuan yang tiada tolak ansur
Solat merupakan ibadat tetap yang tidak luput kefardhuannya dalam apa jua keadaan. Ia mesti ditunaikan oleh setiap muslim yang mukallaf, tidak kira sama ada ketika ia sihat atau sakit, semasa lapang atau sibuk, musafir atau muqim, kaya atau miskin, raja atau rakyat biasa, semasa aman atau perang dan sebagainya. Oleh kerana itu, solat merupakan tiang seri bagi agama Islam. Kefardhuan solat ini jelas berbeza dengan ibadat-ibadat fardhu yang lain. Sebagai contoh, ibadat haji hanya wajib kepada orang-orang yang berkemampuan, manakala zakat pula hanya wajib bagi orang-orang Islam yang mempunyai harta, yang cukup nisab dan haulnya. Demikian pula dengan puasa, yang wajib dikerjakan oleh muslimin yang sihat dan mampu melaksanakannya.
Solat, penghubung hamba dengan Tuhannya
Solat adalah tali penghubung di antara seorang hamba dengan Allah SWT. Ia merupakan amalan yang paling disukai oleh Allah sebagaimana yang diterangkan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad yang bermaksud:
“Janganlah kamu meninggalkan solat dengan sengaja kerana sesiapa yang meninggalkannya dengan sengaja, penjagaan atau pemeliharaan Allah dan RasulNya telah terlepas dari dirinya.” (Riwayat Imam Ahmad)
Solat, penghapus dosa dan menjauhkan dari melakukan maksiat
Solat adalah penghapus dosa bagi hamba-hamba yang menzalimi diri mereka. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:
“Mahukah kamu aku tunjukkan sesuatu yang jika kamu lakukannya, Allah mengampunkan segala dosa dan meninggikan darjat kamu? Para sahabat menjawab: Ya, wahai Rasulullah! Baginda menjawab: Menyempurnakan wudhuk meskipun ketika sukar (seperti dalam keadaan terlalu sejuk), memperbanyakkan langkah ke masjid dan menunggu solat yang berikutnya setelah selesai solat sebelumnya, kerana yang demikian itu adalah perbuatan mewakafkan diri untuk melaksanakan ibadat yang berpanjangan.” (Riwayat Imam Muslim)
Kita sering mendengar firman Allah SWT yang berikut setiap kali azan berkumandang di televisyen:
“Sesungguhnya solat itu mencegah kamu dari melakukan maksiat dan perkara mungkar.” (Al-Ankabut: 45)
Adakah kita memahami maksud ayat yang agung ini lantas memeriksa solat yang kita tunaikan selama ini, adakah diterima oleh Allah SWT? Adakah solat yang kita tunai selama ini membawa perubahan pada tingkah laku dan akhlak kita?
No comments:
Post a Comment