Sunday, August 1, 2010

Ramadhan.. antara ibadat dan adat

Dalam masa beberapa hari sahaja lagi, insyaAllah kita akan dikunjungi satu bulan yang mulia iaitu Ramadhan. Semoga dengan izinNya kita akan bertemu lagi bulan yang ditunggu-tunggu setelah 11 bulan berpisah.

Ramadhan adalah ibarat sebuah perhentian, perhentian dalam kehidupan kita seharian. Di mana di sinilah kita mendapatkan bekalan bagi menambah keimanan dan ketaqwaan, dan membersihkan diri daripada kelalaian 11 bulan yang lalu.

Saya petik dari kata-kata Ulama’ terkemuka kita pada hari Prof. Dr Yusuf Qardhawi, “Bulan Ramadhan adalan bulan untuk membuat kebaikan”. Tetapi berapa banyak yang kita lihat masyarakat pada hari ini terlalu sibuk dan alpa dengan urusan dunia seharian sehingga ramadhan yang dilalui berlalu begitu sahaja tanpa disedari daripada dipenuhkan dengan amal dan ibadah. Ia nya adalah satu fitrah ketentuan Allah, hanya sesiapa yang mencari hikmah dan kebaikan itu sahaja akan memperolehinya, yang akan dikurniakan hidayah kebaikan dari Yang Maha Kaya. Kita ambil contoh dari kisah para sahabat Rasulullah, seperti Shuhaib Ar-Rumy dan Salman Al-Farisi. Kedua-duanya bukan berasal daripada penduduk tanah arab, Mekah ataupun Madinah. Disebabkan oleh perasaan meluap-luap inginkan kebaikan; akhirnya mereka diberikan hidayah oleh Allah swt untuk memeluk islam, iaitu kebaikan di dunia dan akhirat. Sedangkan ramai lagi masyarakat Quraish jahiliah pada masa itu tidak mendapat hidayah untuk masuk islam walhal seruan islam diberikan kepada mereka setiap hari. Hendak seribu daya, tak nak seribu dalih.

Hadis sahih riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w bersabda, “Apabila masuk bulan Ramadhan, terbukalah pintu-pintu rahmat dan tertutuplah pintu-pintu neraka serta terbelenggulah syaitan-syaitan (daripada merasuk mangsanya)”. Ini membuktikan kasih sayang Allah kepada makhluknya, memberi peluang keemasan untuk hamba-hambaNya bertaubat dan mencari kebaikan. Jika sudah berpuluh tahun umur kita, samalah tempohnya dengan Ramadhan yang kita temui (mungkin boleh tolak umur sblm aqil baligh). Tetapi sejauhmana kita berubah kerana Ramadhan? Yang lebih penting adakah kita masih terbelenggu dengan rutin harian kita atau bergelumang dengan dosa; sedangkan syaitan tiada untuk menggoda. Tinggal hanyalah nafsu kita yang tidak terdidik 11 bulan yang lalu, menjadi darah daging sehingga begitu liat hendak dilembutkan.

Al-Baqarah: 183, “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar bertaqwa”. Hasil daripada tarbiyyah (didikan) Ramadhan yang sepatutnya kita semua dambakan adalah ketaqwaan sepertimana yang difirmankan oleh Allah dalam ayat tersebut. Perlu ada hasil yang boleh dinilai secara objektif seperti peningkatan solat sunat, kekerapan qiamullail dan juga hasil subjektif seperti solat di awal waktu, kurangnya perasaan dengki, lebih bersabar dsb. Untuk mendapatkan hasil tersebut perlulah ada niat yang betul sebelum melangkah ke bulan Ramadhan nanti, dan usaha yang bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya.

Mega Sales sempena hari raya adalah sesuatu yang dinanti-nanti oleh masyarakat kita pada hari ini, pasti berduyun-duyun akan membanjiri pusat membeli-belah setiap hari. Bulan Ramadhan juga boleh diibaratkan seperti Mega Sales yang ditawarkan oleh Allah. Setiap amal fardhu di bulan biasa akan mendapat 70 ibadah fardhu di bulan Ramadhan. Jadi jangan lepaskan peluang merebutnya, selagi stok umur masih ada.

Bagaimana pula dikatakan Ramadhan, antara ibadah dan adat. Adakah fenomena ini berlaku di kalangan masyarakat kita? Sama-samalah kita renungkan.

Ibadat
Adat

Mewujudkan suasana ibadat dengan berkunjung ke masjid, melaksanakan terawikh, memperbanyakkan qiamullail Raya diwar-warkan sehingga suasana Ramadhan tenggelam.
Lebih menumpukan kepada tarbiyyah (didikan & latihan) ruhiyyah, melatih jiwa dan mendidik nafsu Melupakan pengisian ruhiyyah, berlebihan dalam pengisian fizikal dengan juadah berbuka seperti pesta makan.
Melaksanakan terawikh, mengimarahkan surau dan masjid, memperbanyakkan amal terutamanya di 10 malam terakhir. Hanya di awal bulan sahaja masjid dipenuhi dengan jemaah, tetapi semakin lama semakin sikit terutamanya di akhir bulan kerana terlalu sibuk dengan persiapan raya.
Sedih dengan pemergian Ramadhan dan bersemangat dalam bertakbir kerana ianya tanda kemenangan melawan nafsu. Bulan merdeka daripada kekangan nafsu, lalu pesta hiburan semahu-mahunya.

Saya menyeru untuk diri saya dan pembaca semua agar kita muhasabah diri kita, sejauh mana persediaan kita untuk bertemu Ramadhan. Adakah kita terlalu excited kerana raya tidak lama lagi, atau kerana makanan yang lazat dan banyak ketika berbuka, pakaian baru dan sebagainya. Hidup di dunia terlalu singkat, ia diibaratkan oleh Allah swt hanya seperti antara waktu asar dan maghrib. Terlalu singkat berbanding kehidupan yang kekal di akhirat kelak. Adakah kita ingin mengejar kebahagian seketika atau kebahagiaan yang kekal abadi di jannah nanti? Bersihkan hati dengan solat dan puasa, sucikan niat mendapat kebaikan Ramadhan, dan yang penting jalinkanlah silaturrahim.

Sentiasa perbaharui niat kita untuk berubah dan mendapatkan kebaikan, kerana dengan niat semuanya terlaksana. Dengan niat yang tidak pernah kering di setiap langkahnya, Umar Abdul Aziz mampu menguasai empayar besar islam. Dengan niat dan usaha gigih (tidak pernah meninggal solat tahajjud sejak aqil baligh dan sentiasa bersama dengan peta kota tersebut), Sultan Muhammad Al-Fatih mampu membuka kota Constantinapole dalam usia yang muda lantas membenarkan kata-kata Rasullullah bahawa merekalah tentera yang terbaik dan beliaulah pemimpin yang terbaik.

Moga Ramadhan tahun ini lebih baik daripada tahun sebelumnya.

Wallahualam.

No comments:

Post a Comment